KUNJUNGAN HORMAT KPJ HEALTHCARE BERHAD KE MPKB-BRI
20 April 2025 | Ahad - Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh pihak pengurusan tertinggi KPJ Healthcare Berhad ke Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada hari ini. Delegasi kunjungan diketuai oleh Dato' Mohamad Farid Salim, Ketua Pegawai Operasi (COO) KPJ Healthcare Berhad, bersama tiga orang pegawai kanan syarikat.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara sektor kesihatan swasta dan pihak berkuasa tempatan, khususnya dalam usaha memperkasa agenda kesihatan komuniti dan pembangunan bandar sihat. Perbincangan yang berlangsung telah menumpukan kepada beberapa aspek utama, termasuk kerjasama dalam bidang kesihatan awam, pembangunan fasiliti kesihatan bersepadu, serta pelaksanaan program kesedaran kesihatan bagi warga Kota Bharu.
Dalam pertemuan tersebut, KPJ turut memaklumkan bahawa sebuah bangunan baharu setinggi 12 tingkat sedang dibangunkan di KPJ Perdana Kota Bharu. Bangunan ini akan menyediakan kemudahan rawatan moden serta perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti kepada pesakit.
Kunjungan ini membuka ruang kepada KPJ untuk menyumbang kepakaran dan perkhidmatan dalam usaha menjadikan Kota Bharu sebuah bandar yang sihat, sejahtera dan berdaya saing. MPKB-BRI menyambut baik inisiatif ini dan berharap agar kerjasama strategik yang terjalin dapat diteruskan dan diperluas dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada masyarakat.
- Hits: 17