LAWATAN NAZIRAN UNIT SIASATAN PEMANTAUAN, UNIT KEWANGAN, DAN UNIT TEKNIKAL JMB KE MPKB-BRI
28 April 2025, Isnin - Satu lawatan rasmi telah diadakan oleh Unit Siasatan Pemantauan, Unit Kewangan, dan Unit Teknikal Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) ke Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Rombongan diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Zamri Bin Ishak, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Strata serta beberapa orang pegawai BPST dan JPN.
Majlis dimulakan dengan ucaptama oleh YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee Bin Haji Mohamed, Yang Dipertua MPKB-BRI seterusnya ucapan oleh YBrs. Encik Mohd Zamri Bin Ishak, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Strata.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menjalankan pemantauan ke atas pengurusan kewangan, teknikal, dan pentadbiran JMB serta memastikan semua pengurusan berjalan mengikut garis panduan dan piawaian yang ditetapkan. Selain itu juga meningkatkan tahap kecekapan operasi dan tadbir urus JMB di kawasan pentadbiran MPKB-BRI.
Satu lawatan tapak telah dijalankan oleh Unit Siasatan Pemantauan, Unit Kewangan, dan Unit Teknikal JMB ke dua skim pemajuan berstrata di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), iaitu ke Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pelangi Mall dan Badan Pengurusan (MC) Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian.
Pihak MPKB-BRI ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini. Komitmen dan kerjasama yang diberikan amatlah dihargai dan menjadi bukti keprihatinan kita bersama dalam memastikan pengurusan strata di kawasan pentadbiran MPKB-BRI terus diperkasakan.
- Hits: 13