MPKB-BRI MENERIMA KUNJUNGAN HORMAT DAN LAWATAN PENANDA ARAS DARIPADA MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM (MBSA)
10 Jun 2025, Selasa - YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee bin Mohamed, Yang Dipertua MPKB-BRI serta pegawai-pegawai kanan MPKB-BRI menerima kunjungan hormat dan lawatan penanda aras daripada delegasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan serta bertukar pandangan dan pengalaman dalam aspek pembangunan bandar. Delegasi MBSA diketuai oleh YBrs. Puan TPr. Aniza Binti Osman, Timbalan Setiausaha Pembangunan, merangkap Pengarah Perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan input dan perkongsian amalan terbaik MPKB-BRI dalam pengurusan bandar, khususnya dalam pencapaian Kota Bharu sebagai salah satu Bandar Paling Bahagia dan Bandar Selamat di Malaysia.
Tujuan kunjungan ini juga bertujuan untuk memperkukuh serta menilai semula keberkesanan pelaksanaan Program Bandar Selamat dan Inisiatif Bandar Mampan yang sedang dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Dalam lawatan ini, MBSA turut berhasrat untuk meneroka indikator baharu serta meneliti elemen amalan terbaik yang telah diaplikasikan oleh MPKB-BRI dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan keselamatan komuniti bandar.
MPKB-BRI amat mengalu-alukan usaha seumpama ini yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara Pihak Berkuasa Tempatan, malah turut membuka ruang untuk saling belajar dan berkongsi pengalaman ke arah peningkatan mutu perkhidmatan awam. Diharapkan kunjungan ini dapat menjadi pencetus kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif baharu yang lebih holistik dan mampan dalam membentuk persekitaran bandar yang selamat, sejahtera dan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.
- Hits: 33