Accessibility Tools

Skip to main content

MPKB-BRI MENERIMA LAWATAN PENANDA ARAS DARIPADA MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

17 Julai 2025, Khamis - Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menerima lawatan penanda aras daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Farid Bin Hassan, Setiausaha MBJB bersama delegasi seramai 30 orang.

Delegasi ini disambut mesra oleh pihak MPKB-BRI yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Izuddin Bin Ab Rashid, Pengarah Pengurusan Korporat MPKB-BRI, mewakili Yang Dipertua MPKB-BRI.

Kunjungan ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dalam tadbir urus perbandaran, selain memperkukuhkan jaringan kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Lawatan ini juga menjadi platform penting dalam mempererat hubungan dua hala antara kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan, khususnya dalam merangka pelan tindakan bersama dan memperkukuh jaringan kerjasama ke arah pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif. Perbincangan turut berkisar mengenai strategi serta pendekatan terbaik dalam aspek pengurusan bandar, penyampaian perkhidmatan, pengurusan sisa pepejal, penguatkuasaan undang-undang kecil dan lain-lain.

MPKB-BRI turut berkongsi pengalaman dalam melaksanakan dasar dan program yang berteraskan kepada 5 Kaf, yang menjadi identiti unik pentadbiran Majlis ke arah merealisasikan Kota Bharu Bandar Raya Islam serta pelaksanaan Dasar Membangun Bersama Islam dari sudut praktikal dan impaknya kepada masyarakat.

Pihak MPKB-BRI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh delegasi Majlis Bandaraya Johor Bahru atas kesudian mengadakan lawatan penanda aras ini. Semoga kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dan berterusan, dalam usaha memperkasakan tadbir urus perbandaran yang cekap, berintegriti dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.

MPKB-BRI sentiasa komited untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, sambil terus membuka ruang pembelajaran dan penambahbaikan demi kemajuan bersama.

MBJB1

MBJB2

MBJB3

MBJB4

MBJB5

MBJB6

  • Hits: 86