Accessibility Tools

Skip to main content

LAWATAN PENANDA ARAS DARIPADA MAJLIS BANDARAYA KUANTAN (MBK) KE MPKB-BRI

6 Ogos 2025 | Kota Bharu

Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada 6 Ogos 2025. Delegasi seramai 14 orang ini telah diketuai oleh Encik Shahrul Azlan Bin Abd Rahim, Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBK.

Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan sistem pengurusan tempat letak kereta berasaskan aplikasi pintar yang sedang dilaksanakan oleh MPKB-BRI. Fokus utama lawatan ini merangkumi usaha meningkatkan kefahaman terhadap pengurusan parkir berasaskan teknologi, meneroka pendekatan terbaik dalam kutipan dan pemantauan digital, serta mengenal pasti cadangan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada.

Sesi perkongsian dimulakan dengan pembentangan oleh Pengarah Kewangan MPKB-BRI, Puan Maslinda Binti Mahmood, yang menyampaikan penerangan menyeluruh mengenai struktur dan pelaksanaan sistem pengurusan tempat letak kereta, termasuk penggunaan teknologi dalam operasi harian, sistem kutipan hasil secara digital, serta pemantauan prestasi dan pematuhan.

Perkongsian diteruskan oleh Pengarah Undang-Undang MPKB-BRI, Hajah Wan Norihan Binti Wan Husin, yang menghuraikan aspek perundangan yang mendasari pelaksanaan sistem ini. Antara yang disentuh termasuklah pematuhan kepada kerangka peraturan, pengurusan dokumentasi serta pemantapan proses penguatkuasaan secara sistematik dan efisien.

Lawatan ini bukan sahaja menjadi medan untuk bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik, malah turut memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa tempatan. MPKB-BRI yakin bahawa inisiatif seumpama ini akan terus memacu peningkatan mutu perkhidmatan ke arah yang lebih efisien, moden dan mesra rakyat selaras dengan aspirasi pembangunan bandar pintar.

MBK1

MBK2

MBK3

MBK4

MBK5

  • Hits: 42