KOTA BHARU BATIK FUN RUN BANDAR SELAMAT
23 Ogos 2025, Sabtu - Alhamdulillah, Program Kota Bharu Batik Fun Run Bandar Selamat telah berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Muhammadi, Kota Bharu dengan kehadiran peserta seramai 1,200 orang dari pelbagai peringkat umur dan pelbagai kaum dengan dihiasi corak batik yang berwarna-warni membawa mesej kebanggaan warisan dan kemerdekaan sambil memupuk gaya hidup sihat.
Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Takiyuddin bin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu. Turut hadir memeriahkan acara termasuk YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee Bin Haji Mohamad, Yang Dipertua MPKB-BRI, Ahli-Ahli Majlis, para pegawai MPKB-BRI serta dif-dif jemputan.
Program Kota Bharu Batik Fun Run Bandar Selamat ini diadakan dengan membawa tema Bandar Selamat yang menekankan budaya beriadah secara sihat dan berdisiplin dalam suasana bandar yang sejahtera dan penuh kemesraan. Keunikan program turut terserlah apabila peserta digalakkan berbusana dan brpakaianberunsurkan batik, sekali gus mengangkat warisan Batik Kelantan sebagai identiti tempatan di pentas riadah. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi Kerajaan, Komuniti, NGO, Belia dan para pelajar Intitusi Pengajian Tinggi dan sekolah telah menyemarakkan lagi semangat kebersamaan, manakala kelancaran penganjuran serta kawalan keselamatan sepanjang acara berjaya direalisasikan hasil kerjasama padu pihak MPKB-BRI bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.
Selain acara larian, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik seperti pameran interaktif yang memberi maklumat bermanfaat kepada pengunjung, cabutan bertuah, serta pertandingan mewarna yang melibatkan kanak-kanak sebagai medium mencungkil kreativiti dan memperkenal kan mereka kepada keindahan seni warisan batik sejak usia muda. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyerikan suasana, malah menjadikan program lebih inklusif dengan penglibatan seisi keluarga.
Pihak MPKB-BRI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Seri Haji Takiyuddin Bin Hassan atas kesudian mengikuti acara larian sehingga ke garisan penamat serta kepada YABrs. Yang Dipertua MPKB-BRI, Ahli-Ahli Majlis, para pegawai MPKB-BRI dan tidak ketinggalan, ucapan terima kasih turut ditujukan kepada semua agensi Kerajaan, semua peserta yang memberikan sokongan padu dalam merealisasikan usaha menjadikan Kota Bharu sebagai Bandar Selamat, berbudaya dan sejahtera sepanjang sambutan Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam 2005 – 2025.
#MPKBBRI
#BandarSelamat
#DuaDekadKotaBharuBandarRayaIslam2005-2025
#KotaBharuBatikFunRunBandarSelamat
- Hits: 25