Direktori / Pautan / Peta Laman / Daftar
PROGRAM MALAM JALINAN BUDAYA KOTA BHARU 2024
- admin.mpkbbri
- BERITA TERKINI
9 November 2024, Kota Bharu - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam telah menganjurkan Program Malam Jalinan Budaya Kota Bharu Peringkat MPKB-BRI 2024 bertempat di Dataran Cheng Ho Kota Bharu. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Hilmi Bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan.
Majlis ini dihadiri oleh YB Shaari Mat Yaman, ADUN Bunut Payong, dan YB Puan Hajah Rohani Ibrahim, ADUN Tanjong Mas. Turut hadir juga, YABhg. Dato' Haji Mohd Anis Bin Hussein, Yang Dipertua MPKB-BRI, bersama YBrs. Encik Mahzan Bin Che Mohamed, Setiausaha MPKB-BRI serta ahli-ahli majlis dan pegawai-pegawai MPKB-BRI. Kehadiran wakil-wakil komuniti pelbagai kaum di Kota Bharu, termasuk masyarakat Melayu, Cina, dan India, turut menyemarakkan majlis dalam meraikan keindahan kepelbagaian budaya tempatan.
Pelbagai persembahan budaya dan tradisional yang menghiburkan telah dipersembahkan sepanjang program ini. Antaranya termasuklah persembahan Gendang Cina 24 Musim, Pergendangan Kelantan, Dikir Barat, Gendang Tradisional India dan silambam. Selain itu, nyanyian lagu oleh artis Cina dan artis Melayu turut disajikan kepada para pengunjung, disusuli dengan persembahan rebana kerching, lagu puisi serta tarian singa yang penuh berwarna-warni.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh perpaduan serta kefahaman budaya antara masyarakat berbilang kaum di Kota Bharu. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menghayati dan menghargai nilai-nilai seni dan budaya tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. MPKB-BRI berharap agar penganjuran acara seperti ini dapat menyatupadukan masyarakat dan memupuk rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dalam komuniti.
Sebagai sebuah bandaraya yang menghargai warisan budaya, pihak MPKB-BRI komited untuk terus menganjurkan program-program sebegini bagi mengeratkan silaturahim antara komuniti, sekaligus memelihara dan mempromosikan nilai seni dan budaya tempatan di Kota Bharu.