WORLD #QURANHOUR KELANTAN TERIMA HAMPIR 40,000 PENYERTAAN
KOTA BHARU - World #QuranHour peringkat negeri Kelantan mencapai misi penyatuan ummah dari Surah Al-Saff dengan hampir 40,000 peserta, menjadikannya penyertaan tertinggi dalam tempoh 10 tahun program itu dilaksanakan di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, jumlah tersebut berdasarkan pendaftaran rasmi di 50 lokasi utama namun angka sebenar dijangka lebih tinggi.
“Ini adalah penyertaan paling tinggi dan antara faktornya ialah strategi baharu yang kita perkenalkan iaitu tadarus al-Quran secara 30 juzuk bersama pemahaman melalui sinopsis di samping tadabbur Surah Al-Saff,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa. Beliau berkata demikian sempena program yang diadakan di Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini. Menurutnya, penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah juga meningkat apabila lebih 20,000 orang mengambil bahagian tahun ini manakala hampir 2,000 peserta hadir di lokasi utama terbabit. Beliau berkata, World #QuranHour bukan sekadar program membaca al-Quran, sebaliknya membawa pendekatan jihad ilmu yang lebih meluas.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja membaca tetapi memahami dan menghayati al-Quran serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. “Inilah usaha dakwah yang kita lakukan untuk membina generasi yang akan terus berpegang kepada al-Quran,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan semua pihak yang menjayakan program itu. “Kita harap penyertaan ini dapat dikekalkan dan lebih ramai masyarakat akan bersama menjayakan usaha membawa ummah kembali kepada al-Quran,” tambahnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed berkata, pihaknya sedia menyokong dan mengalu-alukan program seperti ini pada masa hadapan. Menurutnya, World #QuranHour bukan sekadar menggalakkan pembacaan al-Quran, tetapi juga memperkukuh persaudaraan ummah. “Program ini meningkatkan kesedaran dan nilai spiritual dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
- Hits: 21