EMPAT PERNIAGAAN WAJIB TUTUP 1 SYAWAL DI KELANTAN
KOTA BHARU – Hanya empat jenis perniagaan besar diwajibkan menutup operasi pada 1 Syawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, empat jenis perniagaan itu merangkumi pasar raya besar atau hypermarket, pasar raya (supermarket), kedai serbaneka dan restoran makanan segera. Katanya, keempat-empat jenis perniagaan itu diwajibkan tutup operasi pada raya pertama bagi membolehkan pekerja beragama Islam meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim. “Setakat ini, hanya Majlis Daerah Gua Musang dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam yang mengeluarkan notis penutupan itu, bukannya seluruh negeri,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Hilmi turut memberi respons kepada kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Pembaharuan Kehakiman), Datuk Mohd. Zaid Ibrahim yang mengatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk menutup operasi premis perniagaan. Jelasnya, beliau membuat semakan dan mendapati PBT mempunyai punca kuasa di bawah Undang-Undang Kecil Tred Pelesenan Perniagaan dan Perindustrian dan ia selaras bagi semua PBT.
“Undang-undang kecil itu menyebut majlis boleh mengarahkan aktiviti tred perniagaan atau perindustrian tidak dibenarkan dijalankan suatu tempat atau premis berlesen melainkan pada waktu ditetapkan oleh majlis.
“Itu adalah klausa kuasa PBT untuk menentukan waktu operasi bagi sesebuah perniagaan. Kita kuat kuasa hanya untuk empat jenis perniagaan dan pada hari raya pertama sahaja untuk meraikan pekerja Islam di bawah Akta Hari Pelepasan 1951 atau Akta 369,” katanya.
- Hits: 82