SEMANGAT JUANG & MUAFAKAT : KEJOHANAN SUKAN AGENSI PENGUATKUASA KELANTAN CIPTA TAUTAN ERAT
Kota Bharu, 30 Mei 2025 – Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Agensi Penguatkuasa Negeri Kelantan 2025, yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan muafakat.
Sebanyak tiga acara dipertandingkan sempena kejohanan kali ini, iaitu Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah, Kejohanan Carom Wanita, dan Pertandingan Mewarna.
Seramai 8 agensi penguatkuasa utama negeri Kelantan yang menyertai kejohanan pada edisi kali ini iaitu MPKB-BRI, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Mewarna dan Kejohanan Carom Wanita telah disempurnakan oleh YBrs. En. Mahzan bin Che Mohamed, Setiausaha MPKB-BRI. Dalam acara carom wanita, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dinobatkan sebagai Johan, manakala MPKB-BRI muncul sebagai Naib Johan.
Kemuncak kejohanan adalah Perlawanan Akhir Bola Sepak 9 Sebelah, yang turut disaksikan oleh YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee bin Haji Mohamad, Yang Dipertua MPKB-BRI. Dalam perlawanan sengit ini, JPJ berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas MPKB-BRI, sekaligus muncul sebagai juara kejohanan bola sepak edisi 2025.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan sihat, malah turut memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan integrasi antara agensi, sejajar dengan usaha memperkasa penguatkuasaan serta menjalin hubungan erat di negeri Kelantan.
#mpkbbri #jpj #jim #pdrm #aadk #kpdn #bomba #kastam
- Hits: 9