PELAKSANAAN PROGRAM INDAHNYA KELANTAN DI BAWAH MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU BANDAR RAYA ISLAM (MPKB-BRI)
12 Jun 2025, Khamis - Satu kunjungan hormat telah diadakan ke Pejabat YB Datuk Kamarudin Bin Md Noor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan pelaksanaan Program Indahnya Kelantan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Kunjungan MPKB-BRI diketuai oleh YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee Bin Mohamed, Yang Dipertua MPKB-BRI. Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Mohamad Bin Othman, Setiausaha MPKB-BRI, YBrs. Tuan Haji Izuddin Bin Ab Rashid, Pengarah Pengurusan Korporat, serta YBrs. Encik Mohamad Sazwan Bin Mohd Sakri, Penolong Pengarah Pembangunan Korporat, MPKB-BRI.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan MPKB-BRI dalam memperkasakan sektor pelancongan dan kebudayaan di Kota Bharu khususnya serta Negeri Kelantan amnya, melalui pelaksanaan program-program berimpak tinggi di bawah inisiatif program Indahnya Kelantan.
Pihak MPKB-BRI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Kamarudin bin Md Nor atas kesudian menerima kunjungan serta keterbukaan dalam perbincangan. Diharapkan kerjasama strategik ini dapat memperkukuh usaha menjadikan Kota Bharu dan Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan yang unggul.
- Hits: 47