Accessibility Tools

Skip to main content

OPERASI BERSEPADU KAWALAN TIKUS DAN PEMUSNAHAN TEMPAT PEMBIAKAN AEDES DI PASAR SITI KHADIJAH

KOTA BHARU, 20 Mei 2026 – Bahagian Kesihatan Awam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kawalan Tikus dan Pemusnahan Tempat Pembiakan Aedes di sekitar Pasar Siti Khadijah, restoran, gerai makan, gerai kuih dan tandas awam pada 19 hingga 20 Mei 2026 bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 malam.

Operasi tersebut dijalankan sebagai langkah proaktif bagi meningkatkan tahap kebersihan persekitaran serta mengawal vektor pembawa penyakit di kawasan tumpuan awam dan premis makanan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pemasangan perangkap tikus di kawasan berisiko, penempatan racun tikus di lokasi strategik, pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes, pemeriksaan tandas awam dan saliran longkang, pemeriksaan kad pengendali makanan, serta pemeriksaan dan penyelenggaraan grease trap.

Selain itu, pemantauan turut dijalankan terhadap tahap kebersihan kawasan pasar, pengurusan sisa makanan dan kebersihan premis perniagaan makanan bagi memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa lokasi yang berpotensi menjadi habitat tikus dan tempat pembiakan nyamuk akibat pembuangan sisa makanan yang tidak terurus, takungan air serta keadaan persekitaran yang lembap. Terdapat juga beberapa premis yang perlu menambah baik aspek kebersihan dan penyelenggaraan grease trap bagi mengelakkan saliran tersumbat serta pencemaran persekitaran.

Dalam operasi tersebut, para peniaga turut diberikan nasihat dan peringatan berkaitan pengurusan kebersihan premis, pelupusan sisa makanan secara teratur, kawalan takungan air, kepentingan memiliki kad pengendali makanan yang sah serta penyelenggaraan grease trap secara berkala.

MPKB-BRI memaklumkan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan pasar sentiasa bersih, selamat dan bebas daripada ancaman penyakit bawaan vektor demi kesejahteraan peniaga dan pengunjung.

1

4

2

5

  • Last updated on .
  • Hits: 26