Accessibility Tools

Skip to main content

π—¦π—˜π—¦π—œ π—Ÿπ—œπ—•π—”π—§ 𝗨π—₯𝗨𝗦 𝗦𝗧π—₯π—”π—§π—˜π—šπ—œπ—ž 𝗔𝗑𝗧𝗔π—₯𝗔 π— π—£π—žπ—•-𝗕π—₯π—œ 𝗗𝗔𝗑 π—¨π—‘π—œπ—©π—˜π—₯π—¦π—œπ—§π—œ π—¦π—”π—œπ—‘π—¦ π— π—”π—Ÿπ—”π—¬π—¦π—œπ—” (𝗨𝗦𝗠) π—žπ—”π— π—£π—¨π—¦ π—žπ—˜π—¦π—œπ—›π—”π—§π—”π—‘

19 Julai 2026, Ahad - Satu sesi libat urus strategik telah diadakan antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan sebagai platform memperkukuhkan hubungan kerjasama serta membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan masyarakat setempat.

Delegasi MPKB-BRI telah diketuai oleh YABhg. Dato' Haji Zulkifle Bin Ab Rahman, Yang Dipertua MPKB-BRI. Turut hadir sama, YBrs. Encik Nik Fazul Fazlee Bin Nik Othman, Setiausaha serta pegawai-pegawai MPKB-BRI. Kehadiran delegasi ini mencerminkan komitmen MPKB-BRI dalam memperkukuhkan jaringan strategik dengan institusi pendidikan tinggi bagi menyokong agenda pembangunan bandar yang mampan dan selamat.

Pihak USM Kampus Kesihatan pula diketuai oleh YABhg. Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Bin Ismail, Pengarah Kampus Kesihatan USM. Turut hadir ialah YBhg. Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dr. Wan Rosli Bin Wan Ishak, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM bersama pegawai-pegawai USM.

Sesi libat urus ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta meneroka peluang kerjasama yang berpotensi dilaksanakan secara bersepadu pada masa hadapan. Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi fokus kepada aspek pengurusan sisa pepejal, kebersihan persekitaran dan pemupukan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan awam melalui penglibatan warga universiti serta komuniti setempat.

Turut dibincangkan ialah cadangan penambahbaikan kemudahan lalu lintas melalui pemasangan lampu isyarat di persimpangan masuk utama USM Kampus Kesihatan yang akan melibatkan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya, khususnya warga kampus, pesakit, pelawat dan orang awam yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Selain itu, kedua-dua pihak turut meneliti cadangan pembinaan sebuah jejantas yang menghubungkan fasiliti hospital dengan kawasan kampus. Cadangan ini dilihat mampu meningkatkan tahap keselamatan pejalan kaki di samping menyediakan kemudahan akses yang lebih selesa, teratur dan mesra pengguna.

Dalam aspek pembangunan komuniti, perbincangan turut menyentuh kerjasama dalam pengurusan acara, penganjuran program serta aktiviti keusahawanan yang melibatkan staf dan pelajar USM. Kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan institusi pengajian tinggi melalui pelaksanaan program yang memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti.

Sesi libat urus ini juga membincangkan usaha mempertingkatkan pengurusan persekitaran di kawasan rumah kediaman universiti dengan memberi penekanan terhadap aspek kebersihan, penyelenggaraan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi MPKB-BRI dalam mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, indah, selamat dan kondusif untuk didiami.

Melalui sesi libat urus strategik ini, MPKB-BRI dan USM Kampus Kesihatan berharap agar hubungan kerjasama yang terjalin dapat diperkukuhkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi serta menyumbang kepada pembangunan Kota Bharu sebagai sebuah Bandar Raya Islam yang progresif, mampan dan sejahtera.

#pbt #MPKB #usm #libaturus

USM

USM1

USM2

USM3

USM4

USM5

USM6

  • Last updated on .
  • Hits: 32