YANG DIPERTUA MPKB-BRI MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI BUNUT PAYONG
KOTA BHARU, 20 Mac 2025 – YABrs Tuan Haji Azi Rahimee Bin Haji Mohamed, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bersama YB Tuan Shaari Mat Yaman (Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong) telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu baru-baru ini. Turut hadir sama adalah Ahli-ahli Majlis, pegawai MPKB-BRI serta beberapa orang Ahli JKP.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.00 malam itu telah menyebabkan rumah milik Encik Zulkiflee Mohamad, 58 tahun, musnah terbakar. Rumah tersebut mengalami kerugian anggaran sebanyak RM300,000.00. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Dalam usaha meringankan beban yang ditanggung, YABrs Tuan Haji Azi Rahimee Bin Haji Mohamed, Yang Dipertua MPKB-BRI bersama YB Tuan Shaari Mat Yaman (Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong) telah menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada keluarga mangsa kebakaran.
Pihak MPKB-BRI dan agensi-agensi yang terlibat komited untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa kebakaran dan memastikan mereka tidak berseorangan dalam menghadapi dugaan ini. Dengan kerjasama pelbagai pihak, diharap masyarakat Kampung Bunut Payong dapat bangkit semula dan membina kehidupan yang lebih baik.
Semoga kejadian ini menjadi peringatan penting bagi kita semua tentang pentingnya keprihatinan dan sokongan sesama insan dalam menghadapi saat-saat sukar.
- Hits: 38