Accessibility Tools

Skip to main content

LAWATAN PENILAIAN AUDIT AKSESIBILITI KEMUDAHAN ORANG KURANG UPAYA (OKU) DI BANGUNAN AWAM DAN TAMAN AWAM DI BAWAH PEMANTAUAN MPKBBRI

23 & 24 Julai 2025 - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menerima Lawatan Penilaian Audit Aksesibiliti Kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) di Bangunan Awam dan Taman Awam di Bawah Pemantauan MPKBBRI yang diketuai oleh YBrs. En. Wan Ahmad Syauqi Bin Wan Abdul Karim, Penolong Pengarah Bahagian Perunding Kejuruteraan Awam, Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT bersama-sama dua orang pegawai panel penilai.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan premis dan kemudahan awam yang disediakan oleh PBT mesra OKU serta selaras dengan piawaian yang ditetapkan iaitu Kemudahan Akses Berdasarkan RekaBentuk Sejagat MS1184:2014. Majlis penuh berbahagia ini telah dipengerusikan oleh YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee Bin Haji Mohamad, Yang Dipertua MPKB-RI. Sesi penilaian pada kali ini dilaksanakan di tiga lokasi berasingan iaitu di Pejabat MPKBBRI, di Tandas Sejahtera Pasar Siti Khadijah dan tandas awam serta kemudahan awam di Taman Perbandaran Tengku Anis.

Audit aksesibiliti kemudahan OKU ini melibatkan semakan dan penilaian secara terperinci ke atas penyediaan spesifikasi fizikal mesra OKU di bangunan, tandas awam dan taman awam di bawah kawalan MPKB-BRI bagi menyantuni dan memberi lebih keselesaan kepada golongan OKU yang perlu berurusan. Pemeriksaan meliputi kesesuaian dan keberkesanan kemudahan2 tersebut disediakan, sebagai contoh ramp (cerun) yang landai untuk pengguna kerusi roda, ketersediaan dan lokasi strategik tempat letak kereta khas untuk OKU, penyediaan handrail di lokasi2 yang bersesuaian, serta fungsi dan kemudahan tandas mesra OKU. Selain itu, kaunter khidmat pelanggan turut diperiksa dari sudut ketinggian dan reka bentuknya bagi menentukan adakah ianya boleh diakses dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat, khususnya kepada golongan OKU dan kurang mampu.

Dalam lawatan ini, penilaian dilaksanakan berdasarkan garis panduan dan Senarai Semak MS1184:2014 yang menggariskan keperluan reka bentuk bangunan dan persekitaran fizikal yang dapat membantu memberi kemudahan penyampaian perkhidmatan yang lebih selesa kepada golongan OKU. Ini bertujuan untuk memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar dapat memberi manfaat serta tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak.

Lawatan penilaian ini turut disertai oleh dua sukarelawan berkerusi roda dari Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) yang banyak membantu dalam memberikan input, pandangan dan cadangan dari sudut kaca mata sebenar golongan kurang upaya, sekaligus membantu melancarkan lagi proses penilaian.

Kehadiran mereka sangat membantu dalam memberi perspektif sebenar berkenaan keperluan dan cabaran harian golongan OKU. Sesi penilaian ini juga membolehkan maklum balas secara terus dapat dikumpul untuk penambahbaikan berterusan terhadap penyediaan kemudahan awam mesra OKU agar benar-benar berfungsi dan mesra pengguna.

Pihak MPKB-BRI merakamkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam lawatan penilaian ini. Komitmen bersama dalam memastikan kemudahan awam yang inklusif dan mesra OKU adalah selari dengan aspirasi Bandar Raya Islam yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan kepada semua warga kota dan lapisan masyarakat.

AKSESIBILITI1

AKSESIBILITI2

AKSESIBILITI3

AKSESIBILITI4

AKSESIBILITI5

AKSESIBILITI6

AKSESIBILITI7

  • Last updated on .
  • Hits: 126